Friday 24 October 2014

Pantun Sebagai Pembuka Majlis

Alang-alang blog ini blog baru dan baru kata pertama yang dilontarkan eloklah kiranya, kita memulakan dengan pantun membuka majlis. Orang Melaka jika mengatakn diri sebagai orang Melaka tapi kalau tak pandai berpantun perlu diragui asalnya. Sekurang-kurangnya satu pantun pasti akan terpahat di minda dan kepala sesiapa sahaja yang tinggal di Melaka hatta mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki di bumi Melaka ini sekalipun. 

 ini pantun wajib Melaka

 kadang-kadang kat kedai makan pun ada

 

Disini disertakan beberapa pantun pembuka majlis yang sering digunakan dalam majlis-majlis rasmi ataupun majlis orang kahwin. Terdapat banyak lagi pantun lain yang boleh digunakan untuk membuka majlis, dan setiap satunya mempunyai nilai yang tersendiri. Andai anda tidak pernah berpantun, cubalah berpantun samada sebagai pengerusi majlis atau yang menyampaikan ucapan, pasti akan merasa kelainannya. Pantun ini diperolehi dari blog belajarlah .Semoga berguna untuk kita semua.



PANTUN PEMBUKA ACARA

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalammualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Ingin rasa memakan kari,
Kari cendawan batang keladi;
Girang rasa tidak terperi,
Bertemu tuan yang baik budi.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

No comments:

Post a Comment