Thursday 23 October 2014

Awal Kata Selamat Datang, Semoga Kita Terus Diberkati.

Bismillahi walhamdulillah. Pada hari yang penuh berkat ini iaitu hari Jumaat terakhir bagi tahun 1436H, dengan rahmat dan kasih, sayang dan cinta Allah Taala, blog ini dapat dibuat. Hujan renyai-renyai di luar rumah seperti mengizinkan, angin lembut bertiup seperti mengiyakan, langit mendung seperti meraikan kelahiran blog baru ini.

Dinamakan sebagai “MELAKA DIHATIKU”. Blog ini dicipta oleh seorang anak muda yang berasal dari Melaka, lahir di Melaka dan membesar di Melaka. Mempunyai kecintaan yang tinggi kepada negerinya, menjunjung adatnya serta mengimplimentasikan tradisinya. Orang Melaka dilihat kasar dari segi luaran atau tutur katanya, namun dalamannya penuh sifat sopan menghormati, santun menyayangi. Kahau guraunya, namun halus sindirannya.

Dilahirkan pada tahun 1993, sekarang sudah berumur melewati 20-an atau lebih tepat menghampiri angka keramat 22 tahun kehidupan didunia. Berjiwa remaja, berperwatakan biasa, namun mempunyai visi yang sangat tinggi untuk digapai, memenangi hari dunia dalam masa sama menerajui hari akhirat nanti.

Tidak pandai berkata-kata tetapi suka melontarkan idea dalam usaha mencambahkan pemikiran manusia terutama kepada bangsa tercinta. Mahu berfikir diluar kotak pemikiran umat biasa, melihat dunia dengan mata hati agar segala pengajaran yang dicipta dapat dijadikan suatu motivasi tidak hanya pada diri juga buat insan yang mengelilingi.

Aku manusia biasa yang cinta pada Pencipta dan berharap bertemuNya dalam keadaan mulia. Blog ini adalah satu inisiatif kecil yang digarap agar dapat memudahkan manusia lain dalam kerangka mengunjungi serta menziarahi negeri bersejarah. Sedikit sahaja perkongsian yang ingin dibawa. Andai ada silapnya sila tegur untuk membina, bukan hanya mengkritik tidak tentu hala,saya mengalukannya.

Dengan lafaz TakzimNya, BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, blog ini dimula moga ada berkat dan kebaikan yang kita sama-sama dapat manfaat daripadanya.

Kapal dagang dari seberang,
Penuh muatan kayu Meranti;
Lafaz Bismillah dan Selamat Datang,
Semoga kita terus diberkati.

No comments:

Post a Comment