Friday 24 October 2014

Bunga Negeri Melaka Bunga Kesidang

Pernahkah kita mengetahui atau mengambil tahu tentang bunga yang menjadi bunga rasmi negeri Melaka. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak mengetahui apa bunga tersebut. Bunga tersebut adalah bunga kesidang. Jikapun ada yang mengetahui, pasti ramai lagi yang tidak pernah melihat Bunga kesidang ini. Sewaktu kecil dulu seringkali bunga ini menjadi pewangi di dalam kocek ketika pulang dari mengaji di rumah datuk. Kerana di rumah datuk terdapat rimbunan pokok ini yang dijadikan pintu gerbang sebelum sampai ke anak tangga yang pertama. Inilah dia bunga Kesidang. Bunga rasmi negeri Melaka.


bunga kesidang

Cukup wangi bunga kesidang,
Makin pagi makin berbau;
Berapa tinggi Gunung Ledang,
Sudah daki baru tahu.




Kesidang atau nama botaninya "Vallabris Glabra" adalah Bunga Negeri Melaka. Ia tergolong dalam keluarga Apocynaceae. Bau harum bunga kesidang amat ketara pada waktu pagi dan keharumannya selalu dibandingkan dengan daun pandan.


Bentuknya yang kecil dan cantik amat menarik dan sesuai dijadikan hiasan terutama baunya yang semerbak memenuhi setiap ruang dan bertahan lama. Bunga kesidang sesuai dijadiakn sebagai hiasan pada arca, pergolas dan kebiasaannya dijumpai di kuil, gereja, majlis perkahwinan dan lain-lain perayaan.

putik bunga kesidang

Pendeknya, bunga kesidang merupakan bunga yang selalu dijadikan hiasan di majlis-majlis keraian dan di tempat-tempat kehormat. masyarakat tradisi Melaka menjadikan kesidang sebagai bunga dandanan rambut wanita, hiasan pengantin dan alat-alat upacara perkahwinan Melayu seperti tepak sirih dan bunga rampai. Bunga kesidang paling ideal untuk dijadikan lambang Melaka. Walaupun kecil, kecantikan dan keharumannya dapat memikat semua sebagaimana Negeri Melaka yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, sejarah dan kemajuan yang telah dicapai hari ini.

No comments:

Post a Comment